KHILAFAT RASHIDA - APAKAH IANYA LANTIKAN MANUSIA ATAU ALLAH SWT?

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. telah berlaku pelantikan khalifah di Banu Saida melalui kaedah mengundi (votes). Catitan sejarah ini menimbulkan banyak perdebatan dan perbezaan pendapat berkaitan kaedah tersebut samada ianya merupakan legitimasi dari Allah swt ataupun tidak.

Soalan yang sering dilontarkan, apakah Khalifah pertama dari Khulafa Rasyidin merupakan lantikan langsung dari Allah swt sekalipun ke-khalifahan beliau berlaku dengan kaedah pengundian manusia? Lantikan manusia atau Allah swt.

Untuk menjawab persoalan rumit ini, pertama sekali harus difahami terminologi atau gerak kerja Allah swt dalam membantu hambaNya. Hal ini termasuk dalam aspek besar terhadap kelangsungan agama Islam dan umat Islam, iaitu pengurniaan Khalifah ke atas umat.

Ketika perang Badr, tapak tangan Rasulullah s.a.w sebagai manusia biasa itu diketahui melempar debu yang kekuatannya seperti ribut pasir, dan fenomena hebat tersebut berlaku tidak lain dan tidak bukan datang dari kekuasaan Allah swt. Yang menakjubkan lagi, kisah ini tercatat dalam Quran seperti berikut :

'...Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar...' - Surah Al Anfal ayat 17

Lemparan debu yang seumpama dengan kekuatan ribut pasir itu menjadi bukti bahawa Allah swt terlibat dalam pekerjaan yang berlaku dari tangan Rasulullah s.a.w sendiri. 
Maka, teminologi yang sama juga sering berlaku terhadap setiap pergerakan dan kemajuan Islam itu sendiri termasuk dalam hal pelantikan Khalifah.


Sekalipun pelantikan Khalifah berlaku melalui kaedah pengundian manusia, tidak wajar sama sekali jika ianya tidak dicampuri oleh Allah swt. Kerana Allah swt sebaik-baik penjaga agama Islam dan sudah pasti Allah swt juga terlibat dalam detik-detik yang teramat penting seperti ini.

1. Konsep Khalifah menurut Al Quran.
Di dalam Quran telah dinyatakan tentang pengertian Khalifah yang muncul dalam pelbagai kategori. Dan setiap dari kategori Khalifah yang disebut dalam Quran adalah nyata dijelaskan ianya datang dari Allah swt sendiri. Sebagai contoh :

Nabi Daud a.s disebut sebagai Khalifah dan dalam masa sama beliau a.s juga merupakan seorang utusan Allah swt.


“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi...” - Surah Saad, ayat 26.

Umat nabi juga pada masa tertentu disebut sebagai Khalifah. Hal ini dinyatakan terhadap kaum nabi Musa a.s di dalam Quran seperti berikut :

“...Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi...” - Surah Al A’raaf, ayat 129

Khalifah dari bahagian orang-orang yang beriman dan beramal soleh yang dinyatakan dalam ayat Istikhlaf. 

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” - Surah An Nur, ayat 55


Beberapa contoh di atas adalah keterangan terhadap pengertian Khalifah menurut Quran, penjelasan dari Quran tentang pengertia Khalifah boleh digunapakai untuk mengenal samada sesuatu Khilafat itu adalah berdasarkan Quran atau tidak.

2. Signifikan ayat Istikhlaf terhadap perlantikan Khalifah pertama dalam Khilafat Rashida.
Oleh kerana tujuan penulisan ini adalah untuk menjelaskan samada Khalifah pertama dari Khilafat Rashida merupakan lantikan Allah ataupun tidak, maka ayat Istikhlaf ( Surah An Nur ayat 55) digunakan untuk membuat penjelasan. Kerana dari ayat Istikhlaf adalah antara kenyataan Quran yang kuat untuk menerangkan hikmah penubuhan Khilafat Rashid sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w. 

Sungguhpun pelantikan Hazrat Abu Bakar r.a berlaku melalui kaedah mengundi, adalah tidak munasabah untuk dikatakan bahawa Allah swt tidak terlibat dalam proses tersebut. Dan tidak wajar juga untuk dikatakan bahawa Khilafat Rashida merupakan lantikan manusia sepenuhnya tanpa penglibatan kuasa Tuhan.


Hazrat Mirza Ghulam Ahmad a.s didalam bukunya ‘Al-Wasiyyat’ menerangkan pelantikan Hz Abu Bakar r.a sebagai Khalifah pertama dari Khilafat Rashida seperti berikut :

“Sesiapa yang kekal bersabar dalam menyaksikan keajaiban yang terjadi ketika wafatnya Rasulullah s.a.w. Ketika para sahabat Baginda s.a.w sedang berduka dan ramai dari tanah Arab keluar dari Islam. Pada masa itu lah Tuhan yang Maha Kuasa memperlihatkan kudratNya buat kali kedua dengan menjadikan Hz Abu Bakar Siddiq sebagai pengganti Rasulullah s.a.w, yang menyelamatkan Islam dari keruntuhan dan sekaligus hal ini menyempunrakan janjiNya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan. Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka” - Al Wasiyyat ms 6-7

Sistem Khilafat merupakan kurnia dan janji dari Allah swt sendiri, dan melalui kudrat Ilahi telah tertubuhnya sistem Khilafat.

Sekalipun proses pelantikan itu berlaku melalui kaedah pengundian, ayat Istikhlaf menjelaskan bahawa pelantikan Hz Abu Bakar ra sebagai Khalifah pertama merupakan lantikan Allah swt. Dan ayat ‘dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan.’ adalah jelas menunjukkan kondisi uma Islam selepas kewafatan Rasulullah s.a.w yang sedang mengalami kegusaran, kesedihan dan kebimbangan terhadap keberlangsungan agama Islam. Lalu melalui Hz Abu Bakar Siddiq Allah swt telah menyempurnakan janjiNya buat umat Islam. Masha Allah.

3. Mengapa Rasulullah s.a.w tidak melantik Khalifah semasa Baginda s.a.w hidup?
Ini adalah anatara persoalan rumit yang sering menjadi konflik pendapat terhadap pelantikan Khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Hazrat Mirza Ghulam Ahmad a.s selaku Imam Mahdi dan Al Maseeh a.s yang dijanjikan mengatakan tentang hal ini.

“Sebabnya adalah Rasulullah s.a.w sangat maklum bahawa Allah swt lah yang akan melantik Khalifah kerana ianya merupakan prerogatif Allah dan mustahil terdapat kesalahan terhadap keputusan Allah swt. Maka, Dia telah melantik Abu Bakar sebagai Khalifah pertama sepertimana Dia telah menjadikan beliau sebagai mukmin pertama dalam Islam” (Al-Hakam April 1908)

Kemudian, Hz Mirza Ghulam Ahmad a.s menyampaikan:
“Saudaraku sekalian ! Oleh kerana ini merupakan langkah Allah sejak permulaan bahawa Dia memunculkan kudratNya dalam dua cara, kemudian Dia akan meranapkan kegembiraan palsu para musuh, maka adalah mustahil bagi Allah swt melalui kebiasaanNya akan meninggalkan cara yang Dia sendiri yang tetapkan. Oleh itu, kalian tidak seharusnya bersedih terhadap apa yang saya katakan dan jangan jadikan hati kamu menanggung kegusaran, kerana adalah mustahak bagi kalian untuk menyaksikan kudrat kedua Ilahi. Ianya akan tiba dan kekal bersama kalian, dan ianya tidak akan terputus sehingga hari kiamat. Kudrat kedua ini tidak akan berlaku sehingga waktu pemergianku. Namun apabila aku pergi, Tuhan akan mengurniakan kudrat keduaNya keapda kalian dan ianya akan kekal bersama kalian, seperti yang disebut janji Ilahi dalam Baraheen Ahmadiyya” ( Al Wasiyyat, ms 7)

Selanjutnya, terdapat juga di dalam beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa mengapa Baginda s.a.w tidak melantik Khalifah semasa beliau masih hidup.

Antaranya adalah dari Aisyah r.a bahawa :
“Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa Baginda berniat untuk memanggil Abu Bakar dan menyerahkan surat untuk ke-Khalifahan beliau, supaya selepas kewafatan Baginda tidak ada pengakuan dibangkitkan dari pihak lain. Namun Rasulullah s.a.w tidak meneruskan niat Baginda kerana meyakini bahawa Allah swt tidak akan menerima pelantikan orang lain selain dari Abu Bakar sebagai Khalifah, dan para mukmin tidak akan bersetuju selain darinya” -Bukhari Kitabul Ahkam Babul Istikhlaf.





Comments