Usaha, Ikhtiar dan Taqdir manusia di dalam Quran.



Persoalan mengenai usaha, ikhtiar dan Taqdir manusia adalah perkara yang menjadi subjektif dan menimbulkan banyak huraian berkenaan dengan hal yang sama.

Persoalan yang sering timbul berkenaan dengan Taqdir, apakah manusia itu membuat ikhtiar berdasarkan ketetapan kehidupan dari Allah swt?

Sebagai permulaan langkah dalam merungkai persoalan rumit berkenaan dengan hal ini. Terlebih dahulu hendaklah difahamkan dengan pengertian ikhtiar.

Apa itu ikhtiar?

Ikhtiar merupakan pilihan manusia dalam menentukan hala tuju kemana dirinya harus dibawa. Perlu diingatkan terlebih dahulu pilihan manusia dalam menentukan hala tuju kejayaan dunia seperti kerjaya, objektif dan matlamat diri merupakan ketentuan manusia yang diputuskan sendiri oleh kehendak manusia dalam kehidupan seharian.

Ikhtiar yang akan dibincangkan disini adalah berkenaan dengan pilihan manusia dalam membawa dirinya ke arah jalan baik dan buruk.

Usaha dan pilihan manusia ini sering dikatakan sebagai satu bentuk pemaksaan kerana yang menentukan Taqdir manusia adalah Allah swt sendiri. Oleh itu, samada jalan baik atau jalan buruk yang dipilih oleh seseorang, itu adalah kerana Taqdir yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Namun, ikhtiar yang dimaksudkan dalam Al Quran tidaklah selari seperti apa yang telah dihuraikan di atas. Di dalam Al Quran banyak membuktikan bahawa Allah swt sendiri yang memberi pilihan dan manusia itu sendiri lah adalah hak dalam menentukan pilihan. Manusia adalah pemegang autoriti dalam menentukan hala tuju ke arah jalan baik atau buruk. Dan manusia juga lah yang akan menanggung balasan serta menerima imbuhan berdasarkan ikhtiar yang dibuat. 

Antara ayat Quran yang menyentuh soal pilihan manusia :
                 
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya" -Surah An-Najm ayat 39

Ayat diatas membawa maksud bahawa manusia itu menerima balasan melalui perkara yang diusahakannya. Sesuai dengan konsep ikhtiar itu sendiri, balasan dan imbuhan memerlukan tindakan usaha dari seseorang. Tanpa usaha, tiada imbuhan dan balasan. 

"Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya." (Surah Fatir ayat 45)

Ayat diatas pula menjelaskan bahawa ikhtiar manusia itu bukanlah atas dasar paksa dari Allah swt. Dan dihujung ayat ini pula menyatakan bahawa Allah swt memberi peluang manusia untuk berikhtiar dan Allah swt merupakan wujud yang akan menjadi hakim terhadap perbuatan manusia. 

Penghakiman Allah swt terhadap ikhtiar manusia jangan disalahertikan sebagai satu pemaksaan dari tuhan. Soalan yang mungkin akan timbul adalah 'mengapa Allah swt membuat penghukuman sedangkan ikhtiar itu telah diberi pilihan?'

Penghakiman dan penghukuman Allah swt bukanlah bererti ianya satu pemaksaan. Melainkan ianya merupakan satu kekuasaan Allah swt yang wajar dan menyerlahkan lagi sifat Maha Adil Nya.

Di mana relevannya seanndainya tidak ada penghukuman  dan pengurniaan terhadap ikhtiar baik dan buruk manusia? 

Jika tidak ada penghukuman dan pengadilan Allah swt, maka tidak relevan dan wajar sama sekali untuk Allah swt memberikan pilihan ikhtiar. Dan tidak adil bagi Allah swt untuk membiarkan segala perlakuan aniaya dan keburukan dilenyapkan begitu saja. Dan tidak adil bagi Tuhan untuk membiarkan manusia-manusia baik tidak menikmati imbuhan perlakuan baik yang pernah mereka lakukan. 

Sementara banyak lagi ayat Quran yang lain menegaskan bahawa imbuhan dan balasan adalah sesuai dengan ikhtiar yang diputuskan oleh diri sendiri. Antaranya :

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. : "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286)

"Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya." (Fussilat 41:46)




Sumber :
1. Esensi Islam Jilid 2 - Hazrat Mirza Ghulam Ahmad a.s (Imam Mahdi dan Al Masih yang dijanjikan)












Gambar hiasan.



































Comments